Sitemap | Home    
» Home » PADUCare - Our Social Responsibility » PADUCare looks for funds to help patients

  PADUCare looks for funds to help patients
PaduCare USM cari dana bantu rawat pesakit

KOTA BHARU 7 Dis. 2010 - Persatuan Alumni Doktor USM (Padu) menggesa lebih 3,000 ahlinya menyalurkan sumbangan ke dalam Tabung Kebajikan dan Pendidikan Padu (PaduCare) yang diwujudkan bagi membantu pesakit yang menjalani rawatan di hospital kerajaan di seluruh negara.

Presidennya, Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, kesemua ahli Padu merupakan lulusan Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan USM di sini yang dipercayai telah bekerja dengan majoritinya berjawatan penting.

Justeru katanya, mereka sepatutnya mampu menghulurkan sumbangan kepada PaduCare sebagai menghargai jasa pusat pengajian berkenaan yang sentiasa prihatin terhadap keperluan pesakit dalam mendapatkan rawatan berkualiti.

"Sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak membuktikan keprihatinan doktor-doktor di kalangan ahli Padu untuk membantu pesakit dari golongan berpendapatan rendah yang sentiasa memerlukan pembelaan," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan PaduCare (Tabung Kebajikan & Pendidikan PADU) di Dewan Rufaida Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini.

Menurut Dr. Jafri Malin, sejak penubuhan tabung itu pada 2001, sebanyak RM500,000 telah diterima daripada pelbagai pihak termasuk daripada syarikat dan orang perseorangan.

Bagaimanapun katanya, sumbangan ahli-ahli Padu untuk tabung berkenaan pada tahun ini agak berkurangan apabila hanya berjaya mengumpul RM80,000 yang merupakan wang zakat kakitangan USM untuk disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

"Sumbangan yang terhad menyebabkan PaduCare hanya mampu membantu pesakit yang memerlukan alat anggota tiruan, kerusi roda, proses rawatan terapeutik dan alat pendengaran.

"Justeru, sumbangan lebih besar diperlukan daripada semua pihak," katanya.

Menurut Dr. Jafri Malin, setakat ini ramai daripada pesakit yang mendapat bantuan peralatan sumbangan PaduCare adalah pesakit yang berasal dari Terengganu dan Kelantan.

"Ramai yang masih menunggu untuk mendapatkan kemudahan peralatan itu tetapi berikutan sumber kewangan yang terhad, permohonan mereka masih tertangguh," ujarnya.

Sesiapa yang ingin menderma boleh menyalurkannya melalui nombor akaun Bank Islam 03018010143422.

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd